mcmc
Makanan

Makanan Tempatan

NASI AMBENG

  

(Ihsan Gambar dari google.com)

Nasi Ambeng bermula apabila masyarakat Jawa yang berasal dari Tanah Jawa Indonesia berhijrah ke Tanah Melayu Malaysia sekitar tahun 1890 – 1900 yang kini telah menjadi warga Malaysia. Nasi Ambeng merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa semasa mengadakan kenduri perkahwinan, kelahiran, doa selamat dan sebagainya.

Nasi Ambeng akan dihidangkan didalam sebuah dulang besar (talam) dengan di lengkapi lauk-pauk asli Jawa terdiri daripada serunding kelapa, ikan kering jenis bulu ayam (gereh bulu ayam), kacang tanah, sambel goreng (tauhu, tempe, kentang & suhun), lauk utamanya ayam masak kicap atau ayam masak merah dan sayuran kacang panjang. Satu hidangan (talam) Nasi Ambeng biasanya untuk keperluan 5-6 orang. Pada majlis kenduri biasanya ia dibahagi rata untuk dibawa pulang oleh tetamu dan dimakan bersama keluarga. Konsep nasi ambeng amatlah unik dimana ianya menerapkan persepakatan dan perpaduan dalam kekeluargaan dan kemasyarakatan tidak mengira pangkat dan darjat. 

 

NASI KELUBAN

Pernah makan ‘nasi keluban’? Atau pernah dengar majlis ‘among-among’? Mungkin dua perkataan ini agak asing bagi mereka yang bukan berketurunan jawa. Among-among adalah salah satu tradisi masyarakat Jawa  yang meraikan bayi selepas 36 hari dilahirkan. Ia akan diadakan setiap tahun sehingga bayi itu pandai bercakap tetapi  kebanyakkan masyarakat Jawa Malaysia meraikannya pada hari lahir seseorang bayi tersebut.

Lebih mudah, among-among sebenarnya adalah untuk meraikan kanak-kanak sama seperti sambutan hari lahir. Uniknya, para tetamu yang terdiri dari jiran tetangga dan saudara mara terdekat akan dihidang dengan nasi keluban yang disediakan di dalam dulang. Kanak-kanak yang hadir akan makan di dalam satu dulang berlaukkan urap secara beramai-ramai. Urap adalah sayuran campuran seperti pucuk ubi, taugeh, kacang panjang ala kerabu kelapa yang diletakkan di atas nasi dan di kelilingnya diletakkan telur, ikan bilis, ikan kering, ikan goreng atau ayam mengikut kemampuan sesebuah keluarga.

Among-among semakin jarang diamalkan dalam kehidupan masyarakat Jawa dimalaysia mengikut tradisi yang sepatutnya. Bagaimanapun ia masih diamalkan di sesetengah kampung di Selangor.

 

 

PECAL

 

Pecal merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Isi kandungan pecal berasaskan sayur-sayuran seperti tauge, kacang, timun, kangkung , tempe, tauhu, jantung pisang dan sambal kacang. Caranya campurkan semua kandungan tadi dan gaulkan dengan sambal kacang. Dikampung kundang dan sekitarnya terdapat beberapa pengusaha Kerepek yang turut menjual kuah pecal.